PROJEK JIWA MURNI BERIMPAK TINGGI BERSAMA SKTLDM PARIT DI KOMUNITI TMN INDERA BARAT BOTA

Pada 31 Mac yang lepas, SKTLDM Sitiawan telah menyertai Projek Jiwa Murni Berimpak Tinggi bersama SKTLDM Parit. Projek ini bertujuan melaksanakan kerja-kerja bantuan kepada Komuniti Taman Indera Barat, Bota bagi mencantikkan dan membersihkan kawasan Sekolah Rendah Agama  Raudatul Ulum, Tadika Kemas Taman Indera Barat dan Surau Taman Indera Barat. Seramai 28 orang warga SKS bersama Pegawai Memerintah menyertai projek ini, di samping 25 orang warga SKTLDM Parit.



Setibanya warga SKS di tapak projek, warga disambut dengan mesra oleh warga taman, diketuai oleh Tok Sidang iaitu Tuan Haji Mohd Nasir bin Hj Ab Rashid. Sebelum kerja-kerja dimulakan, warga telah bersarapan yang disediakan oleh SKTLDM Parit. Kemudian, pembahagian anggota dilaksanakan bagi melaksanakan kerja-kerja. Antara kerja yang telah dilaksanakan ialah membersihkan longkang, membersihkan tempat yang berisiko pembiakkan Nyamuk Aedes, mencuci dewan, mengecat, menebas dan memotong rumput.  Kerja – kerja amal ini merupakan langkah kecil pengurusan kedua-dua unit bagi mendekati penduduk dan pelajar serta mencerminkan keprihatinan TLDM dalam masyarakat setempat.







Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Yang Berhormat Dato’ Nasarudin bin Hashim juga sudi meluangkan masa memeriahkan acara dan seterusnya merasmikan program pada kali ini. Dalam ucapannya, beliau mewakili penduduk taman mengucapkan jutaan terima kasih kepada warga TLDM dan penduduk yang terlibat dalam menjayakan program ini.  Selain itu, beliau juga berharap jalinan ikatan yang baik ini akan diteruskan di masa akan datang. Penduduk taman yang diketuai oleh Tuan Haji Mohd Nasir bin Hj Ab Rashid pula telah menyediakan hidangan tengah hari bagi menjamu para hadirin yang menjayakan program ini.







SKTLDM Sitiawan mengucapkan jutaan terima kasih kepada penganjur projek jiwa murni iaitu SKTLDM Parit di atas kesudian menjemput stesen untuk bersama melaksanakan projek jiwa murni ini dan berharap agar kerjasama  ini dapat dikekalkan dan diteruskan lagi pada masa hadapan.






TOGETHER TOWARDS SUCCESS