Pelbagai cabaran yang kompleks dihadapi di dalam organisasi berikutan dengan perubahan sosial dan ekonomi dunia. Persekitaran ini menuntut sistem penyampaian perkhidmatan yang lebih inovatif dalam menghasilkan perkhidmatan yang dapat memenuhi jangkaan serta melangkaui kehendak pelanggan. Keadaan ini juga memberi impak kepada penggunaan sumber, khususnya sumber kewangan yang terhad serta keperluan modal insan yang berkualiti.
Kehendak pelanggan yang semakin meningkat mendorong organisasi untuk bertindak lebih responsif dan efektif serta menyediakan perkhidmatan yang menjurus kepada keperluan yang dikehendaki. Organisasi memerlukan pendekatan baru dan idea yang lebih radikal untuk membolehkan tahap penyampaian perkhidmatan ditingkatkan kepada yang lebih cekap dan berkesan. Oleh itu, organisasi tersebut perlu berani berubah dan mencuba pendekatan penyampaian yang lebih inovatif ke arah kehendak senario masa kini.
Penglibatan oleh semua pihak di dalam sesebuah organisasi adalah penting bagi meneruskan sesuatu idea dan dilaksanakan bersama bagi merealisasikan idea kreatif tersebut. Inovasi yang dihasilkan bukan sahaja untuk dipertandingkan atau pengiktirafan, malah ia dapat memberi galakan di dalam peningkatan taraf perkhidmatan.Organisasi seharusnya membudayakan kreativiti dan inovasi dalam memastikan pelanggan mereka dapat dipenuhi. Konsep-konsep baru yang diperkenalkan seperti Big Think Strategy, Blue Ocean Strategy, Business Process Re-engineering dan beberapa teknik lagi mampu diadaptasikan ke dalam organisasi untuk menjadi lebih kreatif dan inovatif.
Kesedaran warga sesebuah organisasi terhadap memenuhi keperluan pelanggan dengan cara yang lebih kreatif dan berinovatif pastinya menjadi faktor penentu kecemerlangan organisasi itu. Usaha yang berterusan serta komitmen daripada semua peringkat perlu ditingkatkan agar segala hasrat pucuk pimpinan organisasi itu dapat direalisasikan dengan jayanya.